Ahli Parlimen Klang berkata kaedah membantah pengundi berdaftar baharu digunakan Umno untuk mengurangkan jumlah pengundi yang berpotensi mengundi pembangkang.
Beliau berkata dalam tempoh masa 9.00 pagi ke 1.00 tengah hari yang diperuntukkan untuk mendengar bantahan di pejabat SPR di sini, hanya 49 pengundi terkesan dari kawasannya tampil antara 9.00 pagi dan 12.00 tengah hari manakala 28 pengundi dari Petaling Jaya Selatan.
Beliau menambah pegawai SPR enggan memberikan angka dikemaskini mereka yang tampil pada 1.00 tengah hari.
Apabila bantahan dibuat terhadap seorang pengundi, SPR akan mengeluarkan surat kepada pengundi untuk tampil ke pendengaran untuk mencabar kes itu. Sekiranya gagal tampil, nama mereka akan dikeluarkan daripada daftar pengundi.
Pendengaran hari ini bagi Klang dan PJS membabitkan mereka yang berdaftar sebagai pengundi antara Oktober dan Disember tahun lepas.
Santiago mewakili DAP di Klang sementara Hee Loy Sian mewakili PKR di PJS. Selain Santiago dan Loy Sian, penyelaras PKR bagi DUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri juga hadir ke pejabat SPR.
Santiago menuduh Umno menyalahgunakan sistem untuk mengeluarkan nama daripada daftar pengundi di kawasan yang dimenangi pembangkang.
Bercakap kepada pemberita di pejabat SPR, beliau berkata perbualan dengan seorang pegawai SPR menyebabkan beliau percaya Umno mendalangi bantahan itu dan kaedah yang digunakan terhadap pengundi dari kawasan Pakatan Harapan terbukti berkesan.
“Saya persoalkan mengapa pengundi yang dibantah perlu daftar (untuk pendengaran) sebelum 1.00 tengah hari pada Isnin dan saya beritahu (pegawai) tidak mungkin kesemua 274 pengundi boleh didengarkan antara 9.00 pagi dan 1.00 tengah hari.
“Pegawai itu beritahu secara purata, hanya separuh daripada pengundi terkesan akan datang untuk pendengaran. Ini menunjukkan pembantah berjaya mengurangkan jumlah orang yang mereka percaya akan mengundi Pakatan Harapan,” katanya.
Ditanya mengapa Pakatan Harapan tidak mengambil tindakan serupa terhadap pengundi pro-Umno, beliau berkata: “Saya tidak fikir Pakatan mahu menjadi sebahagian daripada itu.”
Read More / Baca Lagi >>