Malaysia Kekal Destinasi Pilihan Pelancong Muslim Dunia



KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan muslim terkemuka dunia dalam kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), lapor Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI 2017) disediakan oleh Mastercard dan CrescentRating.

Menurut Mastercard dan CrescentRating, pelancong Islam lebih gemar berkunjung ke Malaysia ekoran keadaan dan fasiliti negara yang mesra pengguna terutama bagi pengunjung Islam.

Malaysia dengan 82.5 mata diekori rapat, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan 76.9 mata di kedudukan kedua GMTI 2017 sementara Indonesia (72.6 mata) naik di kedudukan ketiga mengatasi Turki yang jatuh ke tangga keempat dengan 72.4 mata.

Pengurus Besar CrescentRating platform yang berpusat di Singapura, Fazal Bahardeen, berkata bahawa setiap tahunnya kira-kira 121 juta umat Muslim melakukan perjalanan ke negara-negara berbeza.

Bahardeen juga menyatakan bahawa para pelancong Muslim yang melakukan perjalanan, membelanjakan kira-kira 15 bilion dolar dan daripada jumlah itu menyumbang 10 peratus kepada ekonomi pelancongan.

Bagi negara bukan-OIC, Singapura menduduki tempat pertama, diikuti Thailand, United Kingdom, Afrika Selatan dan Hong Kong pada kedudukan lima teratas.

Diikuti Jepun di kedudukan keenam dan Sepanyol yang pertama kali memasuki carta 10 negara paling ramai dikunjungi pelancong Islam.

Menurut kajian tersebut, keseluruhan pelaburan masyarakat Islam di seluruh dunia dijangka mencecah US$220 menjelang 2020 dan meningkat kepada US$30 bilion pada 2026.

Kajian meliputi 130 negara seluruh dunia itu memperlihatkan jumlah lawatan masyarakat muslim meningkat daripada 121 juta berbanding cuma 117 juta pada 2015.

Jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 156 juta pada 2020 dan akan terus bertambah 10 peratus setiap tahun.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin mahu tahun 2017 sebagai tahun untuk meningkatkan jumlah pelancong dari negara Timur Tengah ke pulau berkenaan.

Katanya, penyertaan Malaysia ke Pameran Pelancongan Arab di Dubai baru-baru ini telah memperkenalkan Pulau Langkawi di negara berkenaan lantas beliau menggesa pemain industri pelancongan untuk menyediakan fasiliti untuk menyambut kedatangan mereka.

"Misi ini sangat berjaya. Kami bertemu banyak pengusaha pelancongan Arab yang bersedia memasukkan Langkawi ke dalam pakej pelancongan mereka," katanya kepada pemberita.

- Malaysian Digest

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :