KUCHING: Pemimpin politik di Sarawak terus bersuara mengenai pemansuhan Dasar Kabotaj yang disifatkan sebagai langkah terbaik untuk mengurangkan harga barangan di negeri ini.
Terbaru, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh turut menyokong pemansuhan dasar tersebut dengan menyifatkan ia merupakan perkara yang sepatutnya dilakukan.
"Sudah pasti (pemansuhan Dasar Kabotaj) menjadi perkara baik kerana ia akan memberi kesan (mengurangkan) harga barangan dan sebagainya. Ini merupakan perkara baik dan saya setuju," katanya.
Memetik laporan The Borneo Post, Wong merasakan pemansuhan Dasar Kabotaj merupakan sebahagian daripada tuntutan autonomi negeri ini.
"Pemansuhan dasar ini (Dasar Kabotaj) merupakan sebahagian daripada autonomi kerana kerajaan negeri tidak mahu mereka (kerajaan persekutuan) menambah bebanan kepada kita," ujarnya.
Bagaimanapun menurutnya, kerajaan negeri perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan persekutuan untuk memansuhkan dasar tersebut.-Sarawakiana