Seorang blogger Umno mendakwa pertemuan berlaku beberapa jam sebelum Majlis Syura mengumumkan kerjasama PAS-PKR tamat secara rasmi.
Bagaimanapun, sumber dalaman PAS ketika ditanya mengenai perkara itu tidak dapat mengesahkan pertemuan 2 presiden parti terbesar berteras Melayu itu berlaku.
“Tak pasti. Saya difahamkan Ayah Chik berada di hospital,” katanya, merujuk Hadi dengan panggilan mesra di kalangan penyokong kuatnya.
Sumber juga tidak dapat memastikan sama ada pertemuan itu diadakan di pejabat Najib di Putrajaya.
Ia turut dilaporkan seorang blogger Umno, yang berkata pertemuan “empat mata” antara Hadi dan perdana menteri itu berjalan selama 45 minit di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
“Harap Najib Razak akan umumkan hasil perbincangan itu malam ini sempena Umno 71 tahun. Mungkin biduk lalu, kiambang bertaut, sirih pulang ke ganggang,” kata Zaharin Mohd Yasin dalam catatan Facebook semalam.
Pertemuan itu, sekiranya benar berlaku, dilihat signifikan kerana diadakan beberapa jam sebelum Majlis Syura PAS memberikan lampu hijau memutuskan hubungan dengan PKR seperti mana didesak perwakilan pada muktamar yang baru berlalu di Kedah.
Keputusan semalam oleh Majlis Syura, badan didominasi “ulama” PAS dan mempunyai kuasa tertinggi dalam hala tuju parti, sekaligus mengakhiri kerjasama PAS selama hampir 18 tahun dengan PKR, sejak kelahiran parti itu sebagai Parti Keadilan Nasional pada 1999.
Sebelum ini, spekulasi timbul PAS dan Umno akan bergabung untuk mentadbir Selangor. Bagaimanapun, gandingan wakil rakyat PAS dan Umno masih belum mampu memberikan jumlah kerusi yang diperlukan untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
Read More / Baca Lagi >>