Austin, Texas: Seorang lelaki yang menembak mati pelajar perempuan sebuah kolej berusia 20 tahun, menjerit: “Kamu tahu siapa saya dan kenapa saya ada di sini,” sebelum melepaskan tiga das tembakan membunuh Janeera Nickol Gonzalez dalam bilik belajar North Lake College, hari ini.
Lelaki itu, Adrian Victor Torres, 21, kemudian ditemui mati dalam sebuah bilik bangunan lain kolej berkenaan selepas menembak diirnya sendiri.
Menurut Daily Mail. keluarga mangsa mendakwa lelaki itu ‘tergila-gilakan’ Janeera dan menurut ibu mangsa, Adrian sudah lama ‘mengintip’ anaknya itu.
Janeera, pelajar Kinesiologi yang akan menamatkan pengajiannya beberapa minggu lagi, tidak pernah bercakap atau keluar dengan lelaki itu, malah bukan juga sebagai kawan.
Seorang pensyarah, Nasrin Nanbakhsh, yang hendak meninggalkan bangunan berkenaan melihat lelaki itu menembak mangsa tiga kali.
“Saya nampak seorang lelaki berdiri di depan seorang wanita yang duduk di atas kerusi. Saya nampak dia menembaknya tiga kali,” katanya.
Nanbakhsh berlari ke pejabat dan menyuruh semua pekerja wanita mengunci pintu, mengarahkan pelajar masuk ke bilik air, menutup lampu dan diam.
Polis masih melakukan siasatan lengkap motif pembunuhan itu. - metro