HASIL SIASATAN SPRM, KETUA PEMUDA PARTI KUAT RASUAH (PKR) DIPENJARA 6 BULAN, DENDA RM30,000.

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang dihukum penjara enam bulan dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Adam Rosly Abdullah selepas mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Allaudeen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 atau setahun penjara bagi setiap pertuduhan terhadap Adam Rosly , 31, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Adam Rosly yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Ismail untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini selesai dengan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu Sulaiman memohon hukuman denda yang rendah memandangkan anak guamnya berhadapan masalah kewangan selepas didakwa atas pertuduhan itu kerana semua hartanya telah disita dan buku akaunnya telah dibekukan.

“Anak guam saya juga telah sedar dan insaf dengan perbuatannya dan apa yang berlaku telah memberi pengajaran kepadanya. Apa yang berlaku juga bukan dengan niat anak guam saya sebaliknya ia berlaku kerana tekanan yang dihadapinya ketika menyediakan dokumen yang diperlukan pihak SPRM,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Walaupun ini adalah kesalahan yang pertama dan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau tetapi berdasarkan hukuman yang diperuntukkan ia menunjukkan bahawa kesalahan yang dilakukan adalah serius,” katanya.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Feb tahun sama.

Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA


Subscribe to receive free email updates: